Semalam ustazmuda menerima satu e.mail dari seorang yang ustazmuda gelarkannya sebagai sahabat biarpun kami hanya baru beberapa kali berutus e.mail dan cuma saling menjenguk blog masing-masing. Entah kenapa hati ini menjadi terlalu beremosi apabila mengirim dan menerima e.mail daripada beliau. Walaupun jarak antara kami, cerita antara kami, kisah kami cukup berbeza namun mungkin ikatan perjuangan Islam inilah yang mengikat hati kami. Semoga ukhuwwah tanpa rupa dan suara ini akan tetap kekal dan dikira sebagai amalan soleh di sisiNya di sana nanti. Amin.
Sesuatu yang membuat airmata ini mengalir... Yer!!! airmata jantan ini begitu mahal untuk hanya dibazirkan atas sesesuatu yang tidak membawa erti yang besar... Dan sesungguhnya e.mail dari sahabat kali ini benar-benar meruntun jiwa kasarku... merobek hati batuku.
Walaupun ustazmuda tahu e.mail ini bukanlah sebuah e.mail yang khusus untuk diri ustazmuda... email yang dikongsikan untuk semua yang bergelar Muslim, untuk mereka yang masih ada hati dan perasaan dalam dunia yang menuju kepenghujungnya ini.
Kasih sayang, kemesraan rasa yang wujud yang bukan hadir di atas sebuah pentas lakonan... tetapi mendasari di lubuk hati beralaskan kasih sayangNya... senang untuk diucapkan tetapi sukar untuk di realisasikan. Manis bukan hanya dibibir tetapi terserap ke seluruh jiwa... Alangkah manisnya andai kasih sayang ini menyatu di segenap penjuru alam tanpa membezakan aku dan kau... kami dan mereka. Mungkinkah ia satu impian yang terlalu ideal untuk di abadikan di atas muka bumi ini???
Tidak!!! Tinta kaseh telah memberikan satu jawapan... hayati dan hadamkanlah perutusan yang amat bermakna dari seorang sahabat yang menamakan dirinya tinta kaseh
Kasih Sayang’ & `Kemesraan’lah, Uslub Dakwah Kita
Ketika kami berpindah rumah, jiran atas rumah saya yang berbangsa Cina dan beragama Budha, ada memberikan kami hadiah. Sebuah jam yang berupa replika al-Quran. Bila di kunci, akan kedengaran azan. Malah, selama suaminya menjual sayur, hampir setiap hari dia memberikan kami seplastik sayur. Beg plastik yang berisi sayur itu akan disangkutkan pada pagar besi yang mengiringi pintu rumah kami. Bila dibuka pada waktu pagi, kami akan dapati ada seplastik sayur di sana.
Salah seorang jiran kami yang berbangsa India dan beragama Hindu pula, ketika terserempak dengan kami, dia bertanya: “Betulkah abang dan kakak mahu pindah?”
“Ya. Betul”, jawab kami serentak.
Jiran perempuan India itu tadi, diam dan tak berkata apa-apa. Tak lama kemudian, kelihatan lelehan air dari celah matanya. Saya juga terdiam. Isteri saya pun terdiam. Kami tergamam melihat air mata itu turun kerana mengetahui kami akan berpindah. Siapalah agaknya kami pada jiran kami yang berbangsa India dan beragama Hindu itu. Kenapa untuk saya dan isteri saya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam pula air mata itu dihadiahkan?
Tuan rumah kami yang berbangsa Cina pula mengatakan: “Saya cakap sama suami saya, hati saya sakit bila you dan isteri you pindah!” Maksudnya yang sebenar adalah, hatinya sedih dan susah hati bila kami bercadang untuk pindah. Sebenarnya, kami sendiripun berat untuk meninggalkan rumah sewaan kami itu. Bukan kerana rumahnya. Tapi kerana pemiliknya yang walaupun berbangsa Cina, tetapi sangat memahami dan bertolak ansur. Rupa-rupanya, dia pun merasakan apa yang kami rasakan. Dia juga berat menerima keputusan kami untuk berpindah itu.
“Encik Hisyam, I sudah sangat baik dengan you punya wife! Kenapa mesti pindah. Jangan pindahlah.” Kata tuan rumah sewa lama saya di dalam perbualan kami melalui talian talipon. Ketika itu, saya tidak tahu kenapa air mata saya tergenang. “Hati saya dan isteri pun berat juga, Mrs Leong. Kami pun sudah rasa mesra dengan you dan suami. Tapi, apa boleh buat, pejabat saya di di Saujana Utama”, saya membalas. “You ulang-alik sajalah. Bukan jauh, Damansara Damai dengan Saujana Utama”, katanya lagi. Belum mau mengalah. Isteri saya mengambil talipon dari tangan saya dan berkata: “Walaupun kami sudah pindah, kita akan tetap jadi kawan, ya? Saya sudah rasa rapat dengan awak. Macam adik beradik. Hari Raya nanti, datang ke rumah saya”
Ketika barang-barang diangkat ke atas lori, saya memerhatikan gelagat jiran-jiran yang sama-sama datang menolong. Apa yang istimewanya pada saya adalah bahawa dikalangan mereka itu ada penyokong UMNO dan juga penyokong PAS; dan saya pula ...ah, para pembaca pun sememangnya sudah tahu! Tapi, mereka semua dengan penuh rasa kemesraan bersatu membantu mengangkat barang-barang saya untuk berpindah.
Semua yang saya rasakan di atas, menghilangkan kepenatan berpindah rumah. Kemesraan yang ditinggal dan yang dibawa pergi, menjadikan hati saya bercampur rasa pahit dan manis. Rupa-rupanya, orang-orang PAS dan UMNO masih boleh berkawan dan berjiran dengan baik. Sama-sama mentadbir surau. Saya memberikan kuliah maghrib dan jiran UMNO saya itulah yang menyiapkan juadah jamuan selepas kuliah nanti. AJK Surau yang terdiri dari penyokong PAS dan UMNO, sama-sama bermesyuarat untuk menghidupkan surau. Itulah yang berlaku di surau tempat rumah sewaan lama saya.
Rupa-rupanya, masih ada tempat untuk kemesraan di antara si Muslim, si Hindu dan si Budha. Saya bukan maksudkan perkongsian agama. Tetapi, perkongsian rasa kemesraan, kasih sayang dan penghormatan. Jiranku di tempat baru pun terdiri dari kawan-kawan kita yang beragama Hindu juga. Semalam, isteriku menghadiahkan cucur udang yang sebahagiannya menjadi juadah berbuka kami. Hari ini, jiran kami itu, menghadiahkan pula semangkuk kari ikan kepada kami…
ANDA DIJEMPUT KE WEBLOG, `TINTA KASEH’.
Itulah bunyi e.mail yang ustazmuda terima dan mungkin sahabat-sahabat telahpun menerimanya juga. Izinkan ustazmuda menyambung bicara... kalau di mukaddimah mungkin ustazmuda agak beremosi... tapi tidak di penghujung celoteh ini. Kenapa ustazmuda beremosi yer??? Entah!!! bagi ustazmuda harapan kasih sayang dan kemesraan itulah yang ustazmuda amat dambakan untuk dihulurkan sesama manusia... tapi malangnya ustazmuda masih belum mampu merealisasikan di alam realiti...
Suasana ustazmuda dan tinta kaseh mungkin sama... tidak jauh berbeza, Ustazmuda di kawasan multi racial atau mungkin lebih hebat dari tinta kaseh... kawasan yang hampir 70% bukan Islam dan bertugaspun di sekolah yang juga hampir sama keadaannya hatta ustazmuda yang bidang pengkhususannya Pendidikan Islam terpaksa mengajar Bahasa Ibunda...
Ustazmuda sedih, dalam diri ini seolah masih ada batu penghalang untuk ustazmuda menghulurkan salam kemesraan berintikan kasih sayang... berat hati untuk menghulurkan barang sepinggang dua juadah berbuka buat dia yang di sebelah. Berat rasa untuk bertegur sapa kecuali sekadar memberikan senyuman sumbing yang tidak punya apa-apa erti. Masih wujud perasaan aku dan kau berbeza... terkadang benak fikiran tertanya andai aku memberikan padanya... dan mereka memberikan balasan yang sama, apa aku nak buat dengan juadah pemberian mereka??? Arghh... lemahnya imanku belum lagi memberikan apa-apa sudah terpikir begitu jauh. Kalau tidak dimulakan masakan akan berkesinambungan huluran kemesraan.
Buat sahabat sesungguhnya seperti ustamuda katakan di awal, ustazmuda amat mendambakan rasa kasih dan kemesraan itu... namun kelemahan diri seolah memenjarakan atau mungkinkah itu satu keegoan dalam diri??? Ya, ustazmuda perlu belajar... ustazmuda bimbang dipersoal oleh Allah di sana nanti... gerun rasanya hati ini mengadap Allah dalam keadaan ustazmuda tidak pernah bertegur sapa dan menyapa mesra apa lagi untuk mempamerkan keindahan agama ini kepada mereka. Ya!!! Allah keampunanMu ku pohon atas kelemahan diri ini. Amin.
3 ulasan:
12:13 PM
Assalamualaikum wrbt buat abgku nun di sana...sesungguhnya hati setiap insan hanya Allah yang tahu.
Adik sudah pun membaca dan menghayati coretan aba muaz dan juga coretan abg.
susah sebenarnya untuk dinilai perasaan seseorang itu, hati dan rasa naluri yang bersarang umpama segumpal benang yang serabut...atau jiwa yang damai bagai air sungai yg mengalir mengikut arus tenang terus ke muara.
adik faham perasaan abg, hidup bermasyarakat tetapi tiada kemesraan. Kau kau aku aku...mmg itulah sifat yang ada pada segelintir penduduk kota hatta kampung skalipun. Itu dinamakan sifat mementingkan diri sendiri yang kurang prihatin. Adik pun sama. Kdg2 ada jg perasaan tak prihatin kerana ego dan malu.
Malu nak tegur takut jiran tak respon. Ego tu jrg dlm diri adik kerana adik sedar, sbg manusia tak boleh ada keegoaan. yang layak sifat itu adalah Allah. Tapi syaitan tidak akan mudah menyerah kalah dan akan terus menggoda anak adam supaya mengikut sifat mereka. Ego dan sombong!
kdg2 adik terfikir, kalau jadi sesuatu pada aku, siapa yang akan turun membantu, jiran2 pasti takkan jenguk kerana sifatku yg ego selama ini. tak prihatin pada mereka. Tapi kadang2 jiran pun kurang prihatin dan jarang nak bertegur, sekadar senyum, sembang sket lebih kurang lps tu masuk rumah. Ana pun ada jiran begitu, kecik hari dibuatnya. Kdg2 terbawa2 ke kejiranan yang baru sedangkan jiran yang baru tu baik.
Memang adik pun inginkan kemesraan bersama sahabat2 dan jiran2. Tapi kadang2 niat kita disalahtafsirkan sbg mengganggu, mengada2 dan sbgnya.
Tapi insyaAllah, org yang brhati bersih pasti Allah akan tonjolkan di khalayak masyarakat juga. Agar masyarakat cinta dan kasih padanya.
Apabila Allah cintakan seseorang, Dia akan menyuruh malaikat2 menyintai org itu, dan malaikat2 akan mengilhamkan agar manusia2 kasih pada org itu. Maka, seluruh alam akan menyukai dan mengasihi org itu.
Marilah kita ikhlaskan hati kita. Senyum selalu itu adalah sedekah yang tak memerlukan balasan dan modal. Senyum dari hati yang memancar ke bibir melambangkan kebersihan jiwa dan naluri.
Hidup ini penuh cabaran, jgn lokek senyum, nanti dalam kubur kita akan sentiasa bersedih hati.
Sekian komen adik buat abang, aba muaz dan diri sendiri. Semoga menjadi pengajaran dan peringatan dalam hidup kita spjg zaman.
Jazakallah. Wassalam.
6:51 PM
ustazmuda, terima kasih kerana menganggap saya sebagai sahabat. Membaca tulisan-tulisan saudara, saya fikir, mungkin kita punya jenis hati yang sama. Dan ia bertambah kukuh kerana perjuangan kita juga sama.
Di harap persahabatan ini akan kekal dan kita saling sama-sama kongsikan buah fikiran untuk di manfaatkan di dalam kehidupan ini.
Tinta Kaseh / Aba Muiz
9:35 AM
Mungkin cara pendekatan kita sedikit berbeza, tapi sasaran kita adalah sama, mendapat keredhaan Allah dalam penulisan kita. Menarik seramai mungkin utk memahami Islam.
Post a Comment