Sunday, October 08, 2006

PUASA... DIMENSI SAINS

0 ulasan
Salam sahabat blog...

Hari ni tak ada idea sangat nak berceloteh sendiri. Walaupun sebenarnya ada tapi stop dululah dengan idea sendiri yang tak berapa menarik tu. Ustazmuda terasa nak kongsikan satu artikel yang bagi ustazmuda amat menarik. Artikel berkaitan dengan puasa. Tak perlu untuk ustazmuda memanjangkan petah bicara... ustazmuda teruskan je kepada petikan artikel tersebut.

PUASA DARI DIMENSI SAINS PERUBATAN
Oleh : Prof Dr Osman Nasir

Hari ini manusia menjadi hamba abdi moden yang tidak perlu dipaksa menjadi hamba abadi. Mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu makan tanpa kawalan, maksiat rasuah dan macam-macam lagi penyakit moden.

Makan tanpa kawalan dengan tidak mengendahkan adakah makanan itu berzat dan seimbang membawa kepada beberapa penyakit kepada tubuh badan. Pagi makan nasi lemak berlauk ayam atau mee goreng, pukul 10.00 minum teh dan pelbagai kuih muih, tengahari dengan nasi dan lauk-pauk beraneka jenis, jam 3.00 minum teh dan mee goreng atau makanan ringan, malam pula makan makanan yang berat.

Samada makan di luar atau di rumah, kita sudah menjadi hamba abdi kepada kepada makanan tanpa had. Namun bukan semua manusia bersikap demikian. Cara makan seperti ini boleh mengundang banyak penyakit pada diri kita...
Adakah ubat untuk membetulkan keadaan ini ??? Jawapanannya ada, iaitu dengan berpuasa.



Dalam ayat 168 surah Al-Baqarah da ayat 31 surah al-A'raf Allah
mengingatkan kita agar makan makanan yang halal lagi baik serta jangan melampaui batas.

Rasulallah SAW juga berpesan agar kita juga " makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang "

Panduan ini sangat berguna kepada kita kerana dengan berbuat demikian kita akan menjadi seorang yang sihat walafiat. Sebaliknya jika tidak mengikut garis panduan ini, kita akan mendapat penyakit yang beraneka rupa.

Setiap kali kita makan, sistem penghadaman perlu mengambil masa selama lebih kurang 13 jam untuk memproses makanan itu menjadi bahan keperluan tubuh seperti sel-sel baru, darah, tulang, tenaga dan lain-lain.

Dalam praktisnya manusia setiap hari dan sepanjang tahun manusia tidak pernah ambil tahu peraturan alam ini dan terus menerus makan dengan tidak memberi peluang kepada sistem penghadaman memproses apa yang sudah dimakan sebelum ini. Sudah tentu akibatnya bahan makanan yang berlambak di dalam perut itu tidak sempat diproses dan tersimpan sehingga jadi busuk dan toksid.

Bahan makanan yang jadi toksid itu mengeluarkan gas dan angin yang boleh menjadikan manusia dihinggapi penyakit seperti seperti gastrik di bahagian perut ( abdomen ) dan bila gas itu naik ke atas boleh menyebabkan sakit kepala ( migraine ). Kulit pula akan dihinggapi dengan bisul, jerawat dan di kepala kutu suka duduk kerana bahan toksid dalam tubuh kita menjadi makanannya.

Bila kita berpuasa, sistem penghadaman mendapat peluang memebersihkan perut dan usus kita dari semua bahan toksid dalam masa 13 jam itu. Kesan fisiologi puasa pula merendahkan paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah sintolik. Selain itu amalan puasa adalah umpama satu bentuk latihan yang membentuk kerohanian dan fizikal seseorang.

Puasa menjadi amalan yang mesti kita kerjakan kerana makanan manusia moden kini banyak menggunakan bahan pengawet. Puasa dengan masa 13 jam sehari dapat memberi ruang pada sistem tubuh kita mendetoksifikasikan bahan-bahan penawet yang boleh meroakkan tubuh kita. Maka secara langsung kita dihindari dari penyakit.

PUASA KOMERSIAL

Ya, para pembaca budiman sekarang sudah timbul puasa komersial di kalangan kita hari ini. Ianya bermula di barat. Para ahli perubatan barat sejak akhir-akhir ini mengesyorkan pada pesakitnya agar berpuasa untuk menjaga kesihatan.

Untuk tujuan ini mereka adakan pakej percutian bernilai ribuan ringgit untuk beberapa hari di mana semua aktiviti dikawal dari makanan dan senaman. Tempatnya ialah di pergunungan, tepi laut atau tasik buatan. Puasa komersial ini sangat diminati oleh mereka yang kaya tapi menghidapi penyakit yang sukar diubati setelah mencuba bermacam jenis perubatan modern dan tradisional.

APA ALTERNATIFNYA BAGI UMAT ISLAM

Umat Islam tidak ada alternatif malah tidak perlu alternatif. Amalan puasa yang diperintah oleh Allah dalam al-Quran dan contohnya ditunjuk oleh Rasulallah SAW. sudah jauh mencukupi untuk kita nikmati. Bagaimana caranya???

.....Makan sahur secukupnya berpandu kepada pesanan Rasulallah SAW makan bila
lapar dan berhenti bila kenyang.

.....Berbuka dengan makan sedikit dan minum sekejap-sekejap. Selepas solat terawih barulah makan berat sedikit.

Selain itu lakukan amalan-amalan sampingan seperti membaca al-Quran dan solat terawih. Solat terawih pula ada banyak kelebihan.

.... Senaman selepas kita berbuka kerana selepas makan adalah sangat digalakkan dalam ilmu perubatan agar kita gerakkan tubuh bertujuan membantu sistem penghadaman memproses makanan

..... Merapat hubungan kekeluargaan dan masyarakat kerana bila kita solat, tubuh dan bahu berselisih rapat antara kita - ini menyebabkan caj tenaga elektromagnetik berinteraksi antara satu musalli dan jirannya.

..... Merapatkan hubungan manusia dengan bumi kerana bila kita sujud, dahi kita dan beberapa bahagian tubuh kita mencecah bumi maka aliran elektro-magnetik bumi dan manusia berinteraksi.

..... Senaman dalam solat terawih menggerakkan otot-otot dan salur darah ke tahap yang diperlukan oleh tubuh setelah pada siang harinya lemah sediit pergerakannya.

Puasa, solat sunat dan fardhu serta membaca al-Quran mendekatkan rohani manusia kepada Maha Penciptanya. Makin banyak sinar Allah yang kita terima sehingga meliputi seluruh rohaninya menyebabkan rohani manusia menjadi kuat sekali.

Marilah kita tunaikan puasa dan amalan-amalan lainnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulallah SAW dan menjadi manusia yang benar-benar sihat walafiat dari segi rohani dan jasmani

Petikan :
Harakah 1- 15 oktober 2006

Pada ustazmuda, mungkinkah kita akan dapat menjaga kesihatan dengan berpuasa kalau makanan yang terhidang untuk kita lebih hebat dari bulan-bulan biasa. Hidangan yang melimpah ruah dari pelbagai bentuk dan aneka rupa... Kalau bulan biasa kita tidak akan bertemu dengan Puteri Mandi, dalam bulan puasa ni, pandai pula puteri turun mandi, badakpun pandai berendam dibulan Ramadhan mulia ni. Itulah hebatnya Ramadhan yang pelik, yang jarang ditemui akan kita temui diramadhan ini.

Sihatkah kita kalau itulah cara makan kita??? Dari saat berbuka hinggalah ke sahur makanan ada di mana-mana...

0 ulasan: