Salam sahabat blog...
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat kesal dengan sikap pengguna kita yang masih percaya bahawa mudah untuk menjadi kaya dengan cepat tanpa perlu berusaha dengan bekerja keras.
Selagi ramai pengguna kita yang tidak sabar untuk cepat kaya, mereka yang pandai menipu akan mengambil kesempatan dan ramai yang akan kena tipu.
Kebanyakan penipuan wang ini bukanlah sesuatu yang baru, hanya mangsanya sahaja yang baru. Berikut adalah beberapa penipuan biasa yang telah merampas simpanan mereka:-
* SwissCash - Skim cepat kaya Internet terbaru yang mendapat perhatian. Menurut laporan berita, lebih 50,000 orang telah menyertainya dan mangsanya termasuk peguam, perunding dan juruteknik, melabur hampir RM20 juta.
* Surat Nigeria - Walaupun dikenali sebagai penipuan Nigeria tetapi e-melnya boleh datang dari mana-mana tempat dan antara ciri utama penipuan itu ialah anda menerima e-mel yang memberitahu anda supaya terlibat dalam sesuatu yang boleh memberikan faedah bersama untuk anda dan penganjur.
* Skim Piramid - Skim yang menjanjikan mangsa bahawa mereka boleh membuat wang dengan menyertainya sebagai ahli dan mendapatkan orang lain untuk turut menjadi ahlinya. Ada juga yang tidak perlu menjadi ahlinya tetapi mereka perlu membeli produk dengan harga tinggi.
* Wang Hitam - Ini merupakan janji yang dibuat oleh penipu untuk menukarkan kertas kosong kepada mata wang Amerika menggunakan dakwat hitam khas. Sindiket penipuan ini lebih dikenali dengan nama Black Money.
* Gores dan Menang - Biasanya mensasarkan suri rumah dengan menyatakan mereka menjalankan tinjauan terhadap produk tertentu yang kemudian akan menukar tajuk perbualan kepada peraduan Gores dan Menang.
* Bekerja Di Rumah - Mangsa biasanya terdiri daripada suri rumah, pelajar, mereka yang tidak bekerja dan orang kurang upaya. Ia bermula dengan iklan dalam akhbar atau risalah yang dimasukkan ke dalam peti surat.
* Penipuan Loteri - Biasanya orang asing akan mendatangi penduduk tempatan dengan tiket loteri yang menang. Bagaimanapun, apabila mangsa cuba menunaikan tiket itu, mereka diberitahu tiket itu palsu.
* Penipuan Firma Dagangan Komoditi - Firma ini mendakwa pelabur boleh membuat keuntungan besar daripada dagangan komoditi di luar negara. Dalam penipuan seperti ini mangsa tidak hanya kehilangan pelaburan tetapi juga deposit kedua dan ketiga yang dinasihatkan supaya melabur untuk menampung semula kerugian awal.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan berhati-hati dan tidak berakhir menjadi mangsa penipuan mereka. CAP juga turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera menghentikan segala kegiatan penipuan ini.
– S. M. MOHAMED IDRIS,
Presiden CAP.
Petikan Utuasan Malaysia : 06 Disember 2006
Wednesday, December 13, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment