Saturday, January 20, 2007

DOA AWAL DAN AKHIR...

0 ulasan
Doa akhir dan awal tahun

DOA akhir tahun dibaca tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:

“Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

*Doa Akhir Tahun

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat baginda sekelian.

Ya Allah, wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini, maka kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tidak meredai dan Engkau memang tidak melupakannya (Tuhan tidak bersifat pelupa) dan Engkau berlembut tidak mengazabkan kami. Malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu.

Maka, kami sekelian memohon keampunan Mu, ya Allah, ampunkanlah kami dan mana-mana perbuatan yang kami lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redai dan dijanjikan ganjaran pahalanya.

Maka, kami memohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah.

Doa awal tahun dibaca tiga kali selepas maghrib pada malam 1 Muharam. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata, “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan.”

*Doa Awal Tahun

Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan atas keluarga serta sahabat Baginda sekelian.

Ya Allah, engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, kami bermohon kepada-Mu agar terpelihara kami sekelian dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan yang terlaknat. Juga daripada konco-konco syaitan dan bala tenteranya.

Kami mohon daripada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Kami mohon juga kepada-Mu, ya Allah akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia, ya Allah, Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

0 ulasan: