Seminggu dua ni tak habis-habis lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan cerita derhaka... Yalah sebenarnya derhaka ni bukanlah kisah barupun... kalau kita lihat sejarah dan kisah-kisah lampau banyak cerita-cerita penderhakaan di kalangan masyarakat Melayu dulu kala... Pelbagai kisah penderhakaan... ada yang derhaka pada ibu bapa, ala cam kisah Si Tanggang tu... nak best lagi tonton Sinetron Indon Maling Kundang hehe... kisah penderhakaan pada ibu bapa bukanlah satu kepelikanpun. Sejak dari zaman nabi pun telah berlaku... renungi kisah Al-Qamah. Bukankah kisah penderhakaan???
Cuma sejak apa yang berlaku di Perak akhir-akhir ini kisah penderhakaan berulang lagi... lagi dan lagi. Kalau dulu mungkin sebiji nangka menjadi alasan pada sebuah penderhakaan tapi kini... huhu. Apa ya??? Entah... Namun apakah sebenar penderhakaan... setakat manakah yang dikatakan penderhakaan pada pemerintan raja atau sultan itu sendiri??? Ustazmuda cuba juga belek-belek di laman-laman web mencari dan memahami apakah yang dikatakan penderhakaan tersebut...
Alhamdualillah... ustazmuda temu satu temubual seorang wartawan dengan Dr Haron Din... seorang ulamak tersohor yang ustazmuda rasakan cukup hebat ilmunya. Ingin sekali untuk ustazmuda kongsikan dengan sahabat... apakah sebenarnya derhaka tersebut. Apakah pula yang dikatakan sembah derhaka...
Jom sama-sama kita hayati...
(Bahagian pertama)
Beliau adalah antara ulama terkemuka yang masih berhubung rapat dengan Istana dan Raja-Raja Melayu, tetapi tetap dekat di hati rakyat. Justeru, Dato' Dr Haron Din dirasakan tokoh paling sesuai yang boleh mengupas situasi gawat di Perak terutama berkaitan hal yang digembar-gemburkan media, iaitu isu taat setia kepada kepimpinan dan masalah derhaka kepada Raja-Raja Melayu, dari perspektif agama.
Ketua Pengarang Kumpulan Harakah AHMAD LUTFI OTHMAN dan Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN beserta jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH sempat mewawancara Timbalan Mursyidul Am PAS itu, di kediamannya di Bandar Baru Bangi, pagi 16 Februari lalu.
Istilah 'sembah derhaka' yang dilafazkan Dato' Ser Nizar ketika menghadap Sultan telah menimbulkan tanggapan negatif, terutama oleh pihak media, walaupun sudah dijelaskan oleh pakar perundangan juga pakar bahasa. Malah Dato' sendiri turut mengulasnya, tetapi Menteri Besar Perak itu tetap dilabel penderhaka hanya kerana istilah istana itu. Mohon Dato' jelaskan lebih lanjut maksud sebenar istilah 'sembah derhaka' itu.
Istilah 'sembah derhaka' bukan bermaksud perbuatan menderhaka tetapi sengaja pihak-pihak tertentu dan media arus perdana 'menangguk di air yang keruh'. Mereka telah mengungkit dan membesar-besarkan bahawa apabila Nizar 'sembah derhaka', seolah-olah ianya 'confrim' derhaka kepada raja.
'Sembah derhaka' bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat, sama ada kecil atau yang besar. Justeru, seseorang rakyat akan menuturkan bahawa 'patik sembah derhaka'. Ia bukan bermaksud perbuatan menderhaka, melawan atau menyakiti raja.
Contoh terdekat, minggu lepas saya dititah untuk mengadap seorang Raja di Kuala Lumpur. Tetapi saya tidak dapat hadir kerana ada urusan lain, lalu saya terpaksa memaklumkan bahawasaya terpaksa 'sembah derhaka' dan meminta tarikh lain untuk bertemu.Maknanya, kehendak raja saya tidak boleh tunai. Adakah itu maksudnya saya derhaka?
Begitu juga apabila saya mahu dilantik untuk menjadi Mufti di sebuah negeri, dan waktu saya nak menolak saya sebut 'patik terpaksa sembah derhaka'. Dan bukan sekali saya, dalam konteks berurusan dengan Tuanku Raja-Rama Melayu, yang mana saya terpaksa 'sembah derhaka'. Ia suatu istilah bahasa istana.Dan tidak timbul soal kemurkaan raja kerana itu istilah yang lazim diguna pakai.
Tidak sepatutnya pihak-pihak tertentu memperalatkan istilah yang dipakai Nizar, 'sembah derhaka' sebagai perbuatan derhaka yang sebenarnya. Dari sudut bahasa, ia dilafazkan apabila apa yang diminta raja itu tidak boleh ditunaikan. Apabila diberikan sebab-sebab yang munasabah kepada raja maka ia bukanlah derhaka.Kalau itu dianggap derhaka, sebenarnya banyaklah perbuatan derhaka kepada raja, tetapi ia tidak pernah ditonjolkan.
Saya tidak mahu sebut kronologi yang jelas tentang perbuatan menderhaka dan menyakiti raja ini kerana tidak mahu terdedah kepada umum wujudnya pihak-pihak tertentu yang memang benarderhaka kepada raja sehingga menggambarkan wujud masalah antara istana dan pihak-pihak tertentu itu.
Ada menteri besar yang sepatutnya tiap minggu pada hari tertentu menghadap raja untuk memberi taklimat tentang perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang raja yang minta wang rakyat digunakan untuk projek demi kepentingan rakyat, tetapi menteri besar membazir untuk projek mega yang memperkayakan kroni.
Ada raja yang suruh menteri besar hentikan projek tertentu kerana membazir, tetapi tidak diendahkan. Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan menyalurkannya melalui projek tertentu, tetapi tetap diagihkan kepada kroni mereka.
Malah ada seorang raja yang memberitahu saya, ada pemimpin di negerinya yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati dengan baginda. Bukankah itu satu tindakan yang jauh lebih menderhaka lagi.
Semoga sahabat memahami apa yang dikatakan dengan penderhakaan. Apa pula yang dikatakan dengan sembah derhaka... rasanya tak perlu ustazmuda untuk menghuraikan dengan lebih lanjut. Mungkin istilah "sembah derhaka" ini perlu diperkenalkan di dalam sukatan Bahasa Melayu di Sekolah Menengah dalam bab Bahasa Istana... agar ia tidak menjadi asing kepada pelajar dan rakyat seluruhnya satu masa nanti.
Untuk akhirnya... bolehlah disimpulkan sembah derhaka sebagai... satu penolakan secara terhormat lagi berhemat kepada mana-mana permintaan dari raja atau sultan kepada kita rakyat biasa. Begitu boleh???
1 ulasan:
10:11 AM
terima kasih atas info yang diberikan..satu perkongsi ilmu yang baik..
Post a Comment