Sunday, November 26, 2006

CERITA KAK PAH...

1 ulasan
Salam sahabat blog...

Hari ni ustazmuda nak berceloteh tentang Kak Pah... bukan Pah Bedah yang meletup-letup dalam orang gaji kat TV 3 dulu tu, yang duk buat kita ketawa mengekek sampai tak tertahan-tahan. Ni Kak Pah Raja Tahi Lalat. Datok Sharifah Aini. Rasanya dari anak kecil sampai le ke mak nenek kenal Kak Pah nan satu ni... dan mungkin ada yang boleh kirakan berapa jumlah tahi lalat di wajahnya hehe. Itulah tahap keprihatinan kita pada seorang biduanita...

Hati rasa tak sedap gak sebenarnya bila bercerita menyentuh peribadi orang ni. Almaklum ajelah ustazmuda pernah ditegur bab ni... Bimbang juga termasuk bab umpat keji yang mengaibkan dan dapat dosa kering. Nauzubillah moga dijauhkan... bukan apa dalam seminggu dua yang lepas ustazmuda menonton talk show usik-usik Chef Wan di TV 9 dekat di hati... tak tahu kenapa??? Suka tengok talk show pakar masak memasak ni... dan paling kelako satu ketika dulu Datok Dr Masitahpun dikenakan dek Chef Wan kita ni. Berani betul dia... laser habis.

Minggu lepas, panelnya Kak Pah dan beberapa orang lagi... tajuk ibu tinggal. Kenapa!!! salah ke? Maaf!!! ustazmuda lebih suka menggunakan istilah ini, dari ibu tunggal. Bukan apa, dari pengalaman ustazmuda kebanyakan ibu tunggal memang ditinggalkan terus... tinggal tanpa perhatian, tinggal tanpa nafkah... tinggal terkontang kanting memulakan hidup baru menempuh hidup penuh cabaran. Anda tabah wahai ibu tinggal... Tahniah.

Tahniah kepada Kak Pah, mungkin Kak Pah antara beberapa wanita yang beruntung mendapat bekas suami yang mengambil berat pasal anak-anak... yang tanpa segan silu membantu selepas berpisah... Itu antara pengakuan jujur Kak Pah, tapi bukan itupun yang ustazmuda nak kongsikan. Ustazmuda tertarik dengan cara didik Kak Pah terhadap putera tunggalnya... tentu sahabat kenal dengan Alifkan??? Permata hati Kak Pah yang kini nun jah di Madinah. Bakal ustaz kalau takpun pakar dalam bidang agama satu hari nanti. Amin.

Ustazmuda amat tertarik dengan cara didikan Kak Pah terhadap anaknya. Jadual solatnya. Kelas agamanya. Cukup teratur. Sungguh, sebagai ustaz rasanya ustazmuda mungkin tak sampai tahap yang dibuat oleh Kak Pah. Syabas. Mungkin kerana didikan itu juga anak Kak Pah sekarang berada di Madinah menuntut di sebuah universti idaman bagi mereka yang mengaji dibidang agama... Kak Pah setia dengan rotan di tangan pada setiap waktu solat, memastikan anaknya solat 5 waktu menepati waktunya... Masih terngiang kata-kata Kak Pah tika ditanya Chef Wan ' walaupun Kak Pah nampak begini, tapi Kak Pah garang dan amat titikberatkan soal kewajipan solat, soal agama dalam diri anak-anak Kak Pah sedari kecil... bagi Kak Pah minyak dan air tidak bercampur '

Cuma satu je yang ustazmuda kurang seronok dengan ungkapan terkahir Kak Pah... ' minyak dan air tidak bercampur...' pada ustazmuda ungkapan seperti ini tidak tepat dijadikan sebagai pegangan muslim. Untuk mengatakan ia jauh tersasar ustazmuda kurang arif... tapi sungguh ustazmuda rasa janggal dengan istilah seperti ini. Agak keliru dan mengelirukan... memang benar minyak dan air tidak bercampur tapi mungkinkah hak dan batil dicampurkan??? Haram dan halal, suci dan najis bergelumang sekali dalam satu bekas... atau lebih keras lagi mungkinkah Iman dan Kufur disekalikan... ustazmuda berikan satu contoh sangat simple : " sedang kita leka memasak bubur kacang tetiba anak kecil kita berlari dan memancutkan air kencingnya dalam bubur tersebut... Bolehkah kita memakannya??? Sanggupkah kita makan makanan tersebut atau kita membuangnya semua sekali??? Jawapan pasti ada pada kita.

Ustazmuda tahu, amat tahu... teramat ramai di kalangan kita, di sekeliling kita mereka yang berfalsafah seperti ini. Lihat sahaja di luar sana... mereka yang bersolat tapi tanpa segan silu untuk membuka aurat. Seolah aurat itu hanya untuk Allah... untuk bertemu Allah dan dibelakangnya kita bebas. Mereka yang ke Mekah tapi kembali dengan cara hidup yang sama. Bagi mereka ibadat adalah hak mutlak mereka kepada Allah. Kehidupan mereka tidak ada kaitan dengan agama. Hak dunia adalah dunia... Hak Allah tetap ditunaikan. Seolah mereka bebas melakukan segalanya tanpa sekatan dan tidak punya perkaitan apa-apa antara keduanya.

Mungkin kita lupa atau terlalai sebenarnya... setiap perlakuan kita, sedari bangun tidur sampai terlepap semula tidak mungkin dibiarkan begitu sahaja oleh Allah. Tidak mungkin si penulis di kiri dan kanan terlupa walau satu perbuatan. Sungguh, segalanya termaktub dengan hukum Allah yang lima... Wajib, Haram, Makruh, Harus mahupun Sunat. Inilah ketetapannya pada setiap perlakuan kita. Tidak ada yang terlepas dari hukum tersebut. Di sejadahkah kita... Ke tandaskah kita... di padangkah kita... di manapun kita, hukum tersebut tetap tidak berubah. Hukum tersebut tetap berjalan ke atas kita. Kita tidak bebas dariNya selagi kita masih mengaku sebagai hambaNya...

1 ulasan:

Anonymous says:
10:12 PM

Kerana berpegang kepada falsafah "minyak dan air tidak bercampur" itulah maka ramai orang pada masa ini khususnya artis selalu menggembargemburkan tentang penglibatan mereka dalam ibadah solat, umrah dan sebagainya tapi dalam masa yang sama begitu berani membuka aurat, bergaul bebas lelaki perempuan dan berbagai jenis kemungkaran.Mereka ini berpegang pada konsep Allah itu maha penagampun, jadi jika buat salah macam mana pun Tuhan akan mengampunkannya. Dengan kata lain, segala dosa boleh dibasuh dan dicuci dengan ibadah umrah yang mampu dilaksanakan oleh golongan artis yg sememangnya berpendapatan lumayan itu. Jadi tak hairanlah kalau fenomena ini sering kita lihat berlaku dalam masyarakat kita hari ini.