Friday, November 24, 2006

PERBEZAAN REALITI TV MALAYSIA DAN JIRAN...

7 ulasan
Salam sahabat blog...

Petikan dari internet:

Di Singapura, kami tidak mendewakan pemain-pemain bola.'' Begitulah kata-kata Phillip Yeo, Ketua Agensi Penyelidikan Untuk Sains dan Teknologi Singapura. Saya yakin Singapura juga tidak mendewa-dewakan golongan artis seperti yang berlaku kepada kita di Malaysia. Saya tidak pernah terbaca atau mendengar berita yang penyiar TV disana menganjurkan banyak siri realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah jangka panjang untuk kemajuan negara kecil mereka. Tetapi berlainan pula dengan negara kita, itu yang lebih diutamakan sejak kebelakangan ini.

Jika beginilah sikap rakyat negara kita nampaknya kita akan terus menjadi sebuah negara yang terbelakang dalam segala bidang yang berfaedah untuk masa depan negara. Di Singapura, idola mereka adalah orang terpelajar, bukan artis. Orang terpelajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda Singapura untuk mengejar kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Anak-anak mereka digalakkan mendapat pelajaran setinggi yang mungkin kerana mereka sedar tanpa generasi yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi negara mereka akan ketinggalan.

Singapura sedang menuju ke arah apa yang disebut knowledge economy (ekonomi ilmu pengetahuan) tetapi kita lebih kepada entertainment economy (ekonomi hiburan). Artis-artis yang berjaya meraih `ijazah' dari Akademi Fantasia (AF) lebih diberikan tempat dalam liputan akhbar daripada kejayaan anak-anak Malaysia yang berjaya dalam bidang sains dan teknologi.

Kalau beginilah cara orang Melayu menguruskan anak bangsa mereka nampaknya peluang untuk menjana Towering Malays atau Melayu Unggul akan punah. Mana ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang nyanyian diperingkat antarabangsa sehingga mereka terkenal seperti artis-artis dari Barat. Pernahkah kita mendengar jualan album artis-artis Melayu dijual jutaan keping di pasaran antarabangsa?

Kalau setakat menyanyi di Royal Albert Hall sudah dianggap satu kejayaan besar bagi anak Melayu dan bukan meraih ijazah kelas pertama di universiti Cambridge atau Oxford, rosaklah anak Melayu. Kaum Cina dan India mendahulukan kejayaan akademik daripada hiburan tetapi untuk anak-anak Melayu, ibu bapa mereka sanggup berkorban apa saja, bergolok bergadai asalkan anak mereka mendapat tempat dalam Malaysian Idol dan AF.

Mereka tidak sanggup berkorban atau bergolok bergadai untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Sesungguhnya orang Melayu akan jadi bahan ketawa kaum lain pada suatu hari nanti. Orang Melayu masih buta dengan agenda orang lain untuk menjatuhkan mereka.

Tulisan saya ini mungkin tidak akan menyenangkan orang yang tidak mengambil berat tentang arah tuju orang Melayu. Ia mungkin bagai cili yang terpepak atau pahit bagai hempedu tetapi seperti kata orang, yang pahit itulah ubat. Malangnya orang Melayu suka digula-gulakan, dipuji berlebih-lebihan. Biar menang sorak kampung tergadai. Biar papa asalkan bergaya. Sampai bila kita hendak dodoikan orang Melayu dan anak Melayu dengan kejayaan yang palsu. Kita mahukan durian tapi benih tomato yang kita tanam.

Di mana rasional dan logiknya? Begitu rendahkah daya fikir orang Melayu dan anak Melayu? Kalaulah pejuang kemerdekaan dari kalangan orang Melayu yang lalu masih hidup, mereka pasti akan menangis kerana kita telah gagal mendidik anak bangsa ke arah kemajuan yang dituntut oleh agama Islam. Kita gagal mengisi kemerdekaan dengan anak-anak bangsa yang bijak berfikir dan bertindak demi kesinambungan kemegahan orang Melayu. Mungkin Hang Tuah akan geleng kepala melihat orang Melayu hari ini menyalahgunakan kebebasan yang diperoleh. Mungkin Melayu tak hilang di dunia tetapi jika ada bangsa Melayu yang layu apalah gunanya. Layu dengan lagu yang mendayu. Layu di pusat-pusat serenti. Layu di atas jalan raya yang serba moden. Layu di peringkat pengajian tinggi.

Sebab itulah seperti kata Tuan Guru Nik Aziz, kita tak sepatutnya memperjuangankan bangsa Melayu tapi yang patut kita perjuangankan ialah Islam.

Komentar...
Sesekali perlu membuat perbandingan walaupun perbandingan agak pedih untuk diterima. Sesekali juga pelu melihat kepada musuh untuk melihat kembali kekuatan kita.

7 ulasan:

Melayu says:
2:25 PM

Ustaz,

Saya bersetuju dengan pendapat ustaz, melayu leka dengan hiburan. Mungkin itu pada mereka erti kemerdekaan, mereka boleh berhibur bila mereka suka dan dengan apa bentuk hiburan yang mereka mahu. Al-maklumlah dulu sebelum merdeka nak ada radio pun kena dapat lesen baru boleh beli, apa tah lagi nak berhibur.

Produk Halal Tanggungjawab Bersama says:
3:40 PM

Salam,

Memang benar sangat pendapat bahawa artis yang diagungkan, bukan para ulama. Malaysia telah mabuk dengan hiburan. Hiburan yang bakal membawa bencana kepada rakyatnya. Hiburan tanpa tapisan, nyanyian satu hal, filem pula satu hal lagi yang berperanan mencorakkan minda masyarakat. Gubra selepas sepet, sungguh memualkan. Ana hairan bagaimana menteri Islam kita boleh mengiktiraf filem seperti itu? (tak heran sebenarnya, memang itulah corak pemikiran pemerintah negara sekarang) Realiti tv di Malaysia masuk melalui individu yang berfikiran terlalu 'open'. Kalau realiti Akademi Al-Quran tak mengapa...itupun bukan di astro. Siaran AAQ ini susah nak dapat. Bukan semua tempat boleh menerima siaran tv9. Tetapi bg astro, macam-macam adaaaaaaa....maksiat ada, zina ada, tahyul ada...agama ada tapi terhad.

Ustaz jangan lupa....lesen untuk melacur pun ada, lesen jual arak, lesen disko dan macam-macam lesen lagi akan keluar. Janji ada lesen semua boleh! Sebenarnya, pening.

Anonymous says:
10:54 AM

Assalaamualaikum wr wb ust,

Saya setuju ada perbezaan antara org singapura dan malaysia. Yg baik kita contohi, yg kurang baik kita perbetulkan.

Apapun bab hiburan ni, saya rasa melayu s'pura juga menghadapi masalah yg sama. Hiburan disini rasanya dah over limit gak. Idola kita, org melayu...Taufik namanya. Yg terbaru pun org melayu...Hadi pulak. Klu rancangan hari raya tu takde pembaharuan langsung, malah bertambah teruk rasanya...hiburan, nyanyian dan tarian memanjang. Malam raya org s'pura sibuk dok tgk tv nantikan komidi dalam rancangan hari raya.

Kat esplanade lum lagi. Macam2 'arts' festival ada. Yg menjayakannya mahasiswa2, patutnya org bijak pandai tapi pakaian menjolok mata dan yg akan dipentaskan sepatutnya mengetengahkan masalah org melayu. Pengajaran apa yg nak ditonjolkan sebenarnya?

Tapi alhamdulillah ramai gak yg memberi komen di berita harian so bermakna masih ada org yg peduli hal2 kesopanan, hal2 keimanan dalam negeri kecil kami. Mintak tolong doakan ye kami di singapura tabah menempuh dugaan hidup seterusnya....terima kasih.

Kaklong Syikin says:
12:49 PM

salam,

saya cukup suka entri ni..

saya tak heran kalau anak2 muda melayu kita suka hiburan terlebih2..sbb pemimpinnya ada yg begitu, cuba tgk, sapa yg cadangkan pusat2 hiburan sampai lewat pagi kalau bukan pemimpin beragama Islam??kalau yg cadangkan pemimpin bkn Islam, lain hal..ini tidak..pendek kata, pemimpin mana yg turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak anak2 muda kita kalau bukan pemimpin beragama Islam sendiri???

Melayu says:
2:47 PM

Assalamualaikun semua,

Tak banyak yang ingin aku katakan, ini lah harga kemerdekaan dan kemajuan yang kita terpaksa bayar. Kerana mengejar kemodenan kita lupakan bangsa kita yang semakin lalai. Kemajuan dan kemodenan kita mengikut cara dan budaya Barat dan ini adalah kesan sampingan daripada kemajuan yang kita idamkan.

Salam

ween says:
7:03 PM

saya amat suka entry ni.. memang suka.. memang setuju...

haiish, sedangkan Datin seri rosmah mansor pun boleh berduet dgn mawi inikan kita masyarakat yang suka mengikut-ngikut...

Anonymous says:
11:10 AM

Asslalamualaikum w.b.t.

Walaubagaimanapun, kita bertanggung jawap untuk menegur, mengelak, memperbetulkkan dan memperbaiki umat seagama kita.

KITA bersama-sama jihad untuk memperbetulkkan keadaan dgn buah fikiran masing2.. sedikit demi sedikit. kerana MEREKA (Kafir) juga telah melakukan perkara yg sama, lama dahulu..

Tahniah Ustazmuda yg telah mengkomentar artikel yg sgt bernas, namun buatkan kesimpulan untuk penyelesaian. jgn bakar api yg menyala. kita serang guna AKIDAH,.. setuju?.